Sunday, September 29, 2019

Punca Penyakit Batu Karang

Batu karang adalah salah satu penyakit yang selalu berlaku di dalam masyarakat. Pesakit ini akan tiba-tiba mengadu sakit belakang yang teruk tanpa mempunyai apa-apa simptom sebelum itu.



Ia sangat mengerikan kerana kesakitan itu selalunya digambarkan lebih teruk berbanding kelahiran seorang anak.


Istilah perubatan:

Urolithiasis: Batu dalam saluran air kencing

Nephrolithiasis: Batu dalam buah pinggang

Ureterolithiasis: Batu dalam saluran ureter

Patofisiologi: Proses bagaimana penyakit itu berlaku

Prognosis: Kemungkinan yang akan dihadapi oleh pesakit tersebut.

Pengenalan

Batu karang membawa maksud batu yang terbentuk di dalam saluran pembuangan air kencing. Iaitu daripada buah pinggang hinggalah ke bahagian pundi kencing. Tetapi dalam istilah perubatan, nama penyakit tersebut berbeza-beza dan mempunyai simptom dan tempat kesakitan yang berbeza bergantung kepada lokasi batu tersebut.

Jika batu itu berada di buah pinggang, istilah perubatan untuk penyakit tersebut adalah nephrolithiasis. Jika ia berada di dalam saluran ureter iaitu saluran yang menghubungkan buah pinggang dan pundi kencing, ia dinamakan sebagai ureterolithiasis.

Tetapi semua istilah ini boleh di umumkan dengan menamakan penyakit tersebut sebagai urolithiasis. Iaitu batu di dalam saluran pembuangan air kencing.


Patofisiologi

1. Proses terjadinya batu karang

Majoriti daripada batu karang adalah jenis batu yang mengandungi kompaun kalsium. Selepas itu barulah diikuti dengan batu karang yang mengandungi asid urik. Ada juga batu yang mempunyai kompaun yang jarang ditemui seperti cystine, ammonium acid urate, xanthine, dihydroxyadenine dan jenis batu-batu lain yang jarang ditemui.




Batu karang terjadi disebabkan dua fenomena asas.


1.1 Air kencing yang pekat

Fenomena yang pertama adalah berlakunya peningkatan kepekatan kompaun tertentu di dalam air kencing seperti kalsium, oxalate dan juga asid urik. Ia selalu berlaku pada orang yang kurang minum air. Ketika mana, badan kita kekurangan air, air kencing yang terhasil adalah sedikit tetapi semua kompaun yang lain masih lagi dibuang ke dalam buah pinggang.

Ia menyebabkan kepekatan kompaun tersebut meningkat dan membentuk kristal. Kristal yang mula terbentuk akan menjadi pemula yang akan lebih menyenangkan kompaun lain melekat padanya untuk membentuk batu yang yang lebih besar.

Apabila batu itu bergerak ke pundi kencing, ia akan tersekat di bahagian ureter dan menyebabkan kesakitan kepada pesakit.

Proses penghasilan batu karang yang disebabkan peningkatan kepekatan air kencing selalunya menghasilkan batu karang jenis asid urik dan cystine. Bagi batu yang berasaskan kalsium pula mempunyai penyebab yang lebih kompleks.


1.2 Kalsium yang terenap pada saluran buah pinggang

Fenomena kedua berikutan pembentukan batu karang adalah terjadinya pengenapan kalsium pada saluran di dalam buah pinggang. Apabila kalsium yang terenap itu tercabut daripada saluran tersebut, ia akan menjadi batu kecil yang memudahkan kompaun kalsium yang lain terenap padanya hingga menjadi batu yang lebih besar.

2. Bagaimana terjadinya sakit dibahagian belakang
Kesakitan yang disebabkan batu karang selalunya bermula pada bahagian belakang badan samada kiri ataupun kanan bergantung kepada lokasi batu tersebut. Jika batu itu berada di bahagian buah pinggang ataupun bahagian atas saluran ureter, selalunya pesakit akan mengadu sakit belakang sahaja.

Tetapi jika batu itu sudah memasuki saluran bawah ureter, pesakit akan mengadu sakit tersebut merebak kebahagian hadapan abdomen terutamanya bahagian ari-ari

Kesakitan itu terhasil disebabkan saluran air kencing yang mengembang kerana saluran tersebut tersumbat dengan batu tersebut.

Punca penyakit

1. Kurang pengambilan air

Kurang pengambilan air merupakan salah satu penyebab terhasilnya batu ini. Jika seseorang itu kurang minum air, ia akan menyebabkan kurangnya penghasilan air kencing. Perkara ini akan menyebabkan kepekatan air kencing meningkat. Air kencing akan penuh dengan kompaun yang boleh membentuk batu karang seperti kalsium, oxalate dan juga asid urik

2. Pengambilan garam yang tinggi

Garam dapur yang mengandungi kandungan natrium yang tinggi boleh menyebabkan pembentukkan batu karang. Ini disebabkan natrium akan menyebabkan kalsium disingkirkan lebih banyak ke dalam air kencing dan memudahkan pembentukan batu ini.

3. Pengambilan Vitamin C secara berlebihan

Apabila Vitamin C masuk ke dalam badan, ia juga akan diuraikan. produk terakhir Vitamin C adalah kompaun oxalate yang akan disingkirkan melalui air kencing. Kandungan oxalate yang tinggi dalam air kencing boleh menyebabkan terbentuknya batu karang

4. Makanan yang tinggi dengan lemak omega 6

Makanan yang tinggi kandungan omega 6 seperti lemak haiwan dan beberapa jenis minyak sayuran boleh menyebabkan terbentuknya batu karang. Ini kerana kajian menunjukkan lemak jenis ini boleh meningkatkan penyingkiran oxalate ke dalam air kencing dan mengurangkan penyingkiran citrate ke dalam air kencing.

5. Penyakit metabolik yang menyebabkan kalsium tinggi dalam badan

Hypercalciuria adalah salah satu punca yang lain menyebabkan penghasilan batu karang. Hypercalciuria bermaksud seseorang itu mempunyai kandungan kalsium yang banyak dalam air kencing. Ia boleh disebabkan beberapa perkara seperti pengambilan kalsium yang banyak daripada pengambilan supplement kalsium yang berlebihan, penyerapan kalsium yang banyak daripada tulang ke dalam darah(sebagai contoh dalam penyakit hyperparathyroidism) dan beberapa masalah lagi

Nota ringkas penyebab batu karang

Unsur kalsium yang banyak dalam air kencing menyebabkan batu karang.

Kompaun Oxalate yang banyak dalam air kencing menyebabkan batu karang.

Kompaun citrate yang banyak dalam air kencing mengurangkan pembentukan batu karang.

Prognosis (Kesudahan)

Sebanyak 80-85% batu akan pecah dan terlepas dengan sendirinya. 20% daripada pesakit pula memerlukan kemasukan hospital disebabkan sakit yang teruk atau jangkitan kuman pada tempat buang air kecil


Simptom dan Tanda Penyakit Batu Karang

Mereka yang mempunyai batu karang selalunya akan mengadu sakit belakang, simptom kencing kotor seperti sakit ketika membuang air kecil dan juga kehadiran darah dalam air kencing.

Ketika mana batu melalui ureter dan tersekat pada saluran tersebut, ia akan menyebabkan pengembangan saluran ureter yang menghasilkan sakit belakang yang teruk dan tipikal.

Simptom tersebut adalah:

Sakit belakang yang teruk (kawasan sebelah kanan ataupun kiri bergantung kepada lokasi batu karang tersebut) yang berlaku secara tiba-tiba.

Sakit tersebut juga mungkin merebak kebahagian hadapan berdekatan dengan kemaluan.

Kadang-kadang pesakit akan mengambarkan kesakitan tersebut lebih teruk daripada sakit ketika hendak melahirkan anak(bagi kaum wanita)

Rasa loya, Muntah

Terdapat juga jenis batu karang yang bercabang di dalam buah pinggang. Batu karang ini dipanggil sebagai batu staghorn. Ia berbentuk seperti tanduk rusa yang bercabang-cabang. Bagi pesakit yang mempunyai masalah jenis ini, selalunya ia tidak mendatangkan apa-apa simptom kerana ia tidak menyebabkan pengembangan pada saluran ureter

Tetapi selalunya ia akan menyebabkan simptom jangkitan saluran pembuangan air kencing yang kerap kerana banyak bakteria akan menetap di batu karang tersebut.

Kredit: Nazran Abdul Mutalib

About Author:

Konsultan MAA Takaful. Nak sembang takaful boleh whatsapp bila-bila 013-404 4072


Let's Get Connected: Twitter | Facebook | Google Plus

No comments:

Post a Comment

Tak kan baca je ;)
Ce komen skit nak tengok :D